NISFU SYA'ABAN



Hikmah Nisfu Syaban


Assalamualaikum WBT….
Untuk makluman semua…. Hari Nisfu Sya’aban akan tiba pada hari Khamis malam Jumaat ( sebaik saja masuk maghrib), 08hb September 2006 (selepas maghrib pada hari 15 Sya’aban 1427H)… Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14hb sya’aban sebaik sahaja masuk maghrib).


BULAN Syaaban adalah antara bulan yang mulia di sisi Allah swt.

• Ia adalah bulan yang membawa keberkatan.

• nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya.

• Baginda Rasulullah saw banyak berpuasa sunat dalam bulan yang mulia ini.

• Umat Islam digalakkan melakukan amal ibadat dengan berganda. Ini kerana Nabi kita Muhammad saw meningkatkan amal ibadatnya kepada Allah swt pada bulan yang agung ini.


Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nasaei dari Usamah bin Zaid ra berkata:

”Aku bertanya Rasulullah tentang bulan Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat sebagaimana beliau berpuasa dalam bulan Syaaban.

Baginda menjawab: ”Bulan yang banyak manusia lalai dan padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan Syaaban akan diangkatkan catatan amalan hamba kepada Allah swt. Dengan itu aku amatlah suka supaya diangkatkan amalanku ketika aku berpuasa.”


Sebenarnya amal ibadat hamba diangkat oleh malaikat tiap-tiap hari manakala amal ibadat bulan Syaaban ini bolehlah dikatakan laporan tahunan bagi amalan hamba.


Hadis ini menunjukkan bahawa ramai yang lalai dalam bulan Syaaban ini. Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat seperti mana mereka bersungguh-sungguh meluangkan masa beribadat kepada Allah swt pada bulan Ramadan. Ini kerana adat Jahiliyah dahulu orang Mekah lebih mengutamakan dan memuliakan bulan Rejab dan melupakan bulan Syaaban.


Di antara hikmah digalakkan banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban ialah kerana selepasnya dituruti oleh bulan Ramadan yang diwajibkan berpuasa keseluruhannya. Dengan itu puasa pada bulan Syaaban merupakan perintis dan latihan untuk membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan puasa Ramadan sepenuhnya.


Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sudah tentu kuranglah rasa penat dan tidak terkejut untuk berpuasa dalam Ramadan nanti.


Sebuah hadis lagi yang memberi perangsang kepada kita umat Islam supaya mengikut sunah Rasulullah saw.


1. Dari Ummu Salamah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah Rasulullah saw berpuasa dalam setahun sepenuhnya kecuali bulan Syaaban. Kemudian baginda terus menyambung puasa Ramadan.


2. Al-Nasai dari Ummu Salmah berkata: ”Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali bulan Syaaban dan Ramadan.


3. Aishah pula meriwayatkan bahawa Rasulullah berpuasa bulan Syaaban kesemuanya.


Berkenaan dengan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Habban dalam kitab al-Sahihnya, daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Nabi saw bersabda yang maksudnya: Allah swt melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang menyebarkan fitnah.


Dalam hadis yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: ”Allah swt memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.


Hadis-hadis ini menggambarkan kepada kita kelebihan bulan Syaaban yang sungguh istimewa. Ibadat mesti digandakan sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah yang membanyakkan puasa sunat. Hadis tersebut juga menunjukkan bahawa Allah swt sedia memberi keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat.

Ibadat pada malam Nisfu Syaaban:

1. Ibadat yang khusus dilakukan pada malam itu ialah:
2. Sembahyang lima waktu, sunat dan tahjud.
3. Membaca al-Quran. Kalau tidak boleh menghabiskan semuanya, sekurang-kurangnya membaca surah Yasin, al-Waqiah, al-Mulk, al-Insan, al-Hashr, al-Muzammil dan surah al-Mudathir.
4. Banyak beristighfar kepada Allah.
5. Bertasbih, bertahlil, bertakbir dan membaca berbagai doa dan zikir yang ma’thur.



       Sebenarnya tidak ada doa khusus untuk dibacakan pada Nisfu Syaaban. Kita mesti ingat bahawa Allah swt sentiasa membuka pintu taubat bukan pada malam Nisfu Syaaban sahaja bahkan ia sentiasa terbuka waktu pagi dan petang, siang dan malam.


Peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban:

• Peristiwa pertukaran kiblat. Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara’ bin Azib maksudnya: ”Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmakdis al-selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar. Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah.


Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ”Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ”Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Hikmah : Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.

No comments:

Post a Comment

berikan komen anda