Sebagaimana yang diketahui bahawa al-Quran mempunyai sebanyak 30 juzuk, 114
surah dan 6236 ayat. Di antara surah-surah di dalam al-Quran, terdapat satu
surah yang paling panjang iaitu Surah al-Baqarah. Sebagai umat Islam, kita wajar
menyelami rahsia di sebalik setiap surah dalam al-Quran bagi menghayati isi
kandungannya dengan lebih mendalam. Apatah lagi Surah al-Baqarah merupakah surah
yang terpanjang di dalam al-Quran, maka setiap individu muslim hendaklah
berusaha untuk menyelami rahsia di sebalik isi kandungan surah ini. Surah
al-Baqarah ialah surah kedua dalam al-Quran al-Karim selepas surah al-Fatihah
dan ia datang sebelum surah Ali Imran. Ia mempunyai sebanyak 286 ayat yang
kebanyakannya diturunkan di Madinah. Sebahagian besar ayat dalam surah
al-Baqarah diwahyukan pada permulaan Hijrah. Mengikut pandangan majoriti ulama’
ayat 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat yang terakhir diturunkan oleh Allah
bukannya ayat 3 surah al-Ma’idah sebagaimana yang masyhur dalam kalangan
masyarakat (Sila rujuk kitab ’Ulum al-Qur’an oleh Manna’ Khattan dan Subhi Soleh
& Tafsir al-Maraghiy 1/39).
Surah ini merupakan surah yang terpanjang di antara
surah-surah dalam al-Quran al-Karim, malah ayat yang terpanjang juga terdapat di
dalam surah ini iaitu ayat 282 yang menceritakan perihal tentang hutang. Surah
ini dinamakan surah al-Baqarah yang membawa maksud sapi betina (lembu betina)
kerana di dalamnya telah disebutkan kisah penyembelihan sapi betina yang
diperintahkan Allah s.w.t kepada Bani Israel. Kisah ini bermula daripada ayat 67
sehingga ayat 74. Muhammad ‘Ali al-Sabuniy dalam kitab tafsirnya yang terkenal
iaitu ‘Safwah al-Tafasir’ telah menjelaskan bahawa tujuan surah ini dinamakan
sebagai al- Baqarah ( sapi betina ) adalah bertujuan untuk mengingatkan kembali
mukjizat yang telah berlaku pada zaman Nabi Musa a.s. Pada zaman Nabi Musa as,
terdapat seorang lelaki dalam kalangan Bani Israel yang telah dibunuh, tetapi
pembunuhnya tidak diketahui. Apabila mereka mengadu tentang pembunuhan ini
kepada Nabi Musa a.s., Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Baginda supaya
menyuruh mereka (Bani Israel) untuk menyembelih seekor sapi betina, kemudian
memukul mayat dengan sebahagian anggota sapi tersebut. Dengan izin Allah, mayat
yang mati dibunuh itu dapat hidup semula dan memberitahu mereka siapakah
pembunuhnya. Mukjizat ini membuktikan betapa Allah s.w.t berkuasa menghidupkan
semula makhluk walaupun sesudah mati. Ketika Bani Israel diperintahkan untuk
menyembelih sapi betina itu, al-Quran telah merakamkan bagaimana kedegilan
golongan Bani Israel yang tidak mahu melaksanakan perintah Allah tersebut dengan
mencari pelbagai alasan dan hujah. Namun, akhirnya mereka terpaksa juga
melakukannya kerana tiada lagi hujah dan tipu daya yang dapat mereka bentangkan
kepada nabi Musa. Inilah sikap Bani Israel (Yahudi) sehingga ke hari ini. Mereka
secara terang dan jelas menceroboh wilayah Palestin, namun dalam masa yang sama
mereka membuat tipu helah dengan membunuh umat Islam Palestin dengan alasan
untuk mempertahankan diri.
surah: https://youtu.be/yRYoiT2Y60Q?si=JVTLkyjJpchKNuRB
Surah al-Baqarah juga dinamakan sebagai Fustat
al-Quran dan Sinam al-Quran yang bermaksud puncak al-Quran kerana kepentingan
dan kebesarannya yang memuatkan hukum-hukum yang tidak disebut dalam surah lain.
Justeru, beberapa ulama telah menyatakan bahawa surah ini mengandungi seribu
perintah, seribu larangan dan seribu pemberitahuan. Surah al-Baqarah mempunyai
banyak kelebihan dan keistimewaan seperti yang dinyatakan oleh beberapa hadis.
Antaranya ialah hadis nabi saw yang bermaksud: ‘Pelajarilah surah al-Baqarah!
kerana mengamalkannya membawa keberkatan, meninggalkannya akan mengundang
penyesalan dan ahli-ahli sihir tidak berupaya menguasai pembaca surah ini ( atau
mereka sendiri tidak mampu menghafalnya )’. Imam Muslim pula telah meriwayatkan
hadis nabi saw yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran! Kerana ia akan datang pada
Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah dua penyeri iaitu
surah al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-duanya akan datang pada Hari Kiamat
dalam bentuk dua kelompok awan atau seperti dua kumpulan burung yang terbang
berbaris (menaungi pembacanya ), kedua-duanya akan berhujah membela pembacanya.
Bacalah surah al-Baqarah kerana membacanya membawa keberkatan, meninggalkannya
akan mengundang penyesalan dan ahli-ahli sihir tidak berupaya menguasai pembaca
surah ini.” Imam al-Tirmidhi pula telah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud
: ‘Daripada Abu Hurairah r.a bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda
: Janganlah kamu menjadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya setiap rumah
yang dibacakan di dalamnya surah al- Baqarat tidak akan dimasuki syaitan’.
Ketiga-tiga hadis yang dinyatakan di atas adalah memadai untuk menunjukkan
kelebihan dan keistimewaan surah al-Baqarah. Justeru, boleh dirumuskan
berdasarkan ketiga-tiga hadis di atas bahawa