Dalam melengkapkan semua mata pelajaran yang kita telah pelajari, kita haruslah membuat nota ringkas untuk memantapkan lagi daya ingatan kita.
Jika hanya membaca dan menghafal sesuatu fakta, mungkin otak kita lambat untuk mengingatkan kembali ketika menjawab peperiksaan.
Daripada nota ringkas dan menarik, ia akan memperkuatkan lagi daya ingatan kita tentang sesuatu tajuk yang kita pelajari.
++
Sebagai calon peperiksaan rasmi sama ada STPM, SPM, PMR mahupun UPSR, kamu tidak seharusnya bersikap tidak kisah terhadap pelajaran.
Persediaan awal perlu dibuat sebaik sahaja sekolah dibuka. Kamu sepatutnya sudah mula membuat nota.
Nota ialah catatan-catatan yang kita ambil dan kita sediakan daripada pelbagai sumber untuk tujuan ulang kaji.
Sumber-sumber itu boleh diperoleh daripada buku teks, buku rujukan, perbincangan berkumpulan, pengajaran guru ataupun ceramah. Dari situ, kita mengambil isi-isi penting untuk diingat atau difahami.
Adakah kamu menyediakan nota sendiri sejak awal lagi? Bagaimana bentuk nota kamu?
Banyak sebab mengapa kita mesti mempunyai nota – yang kita tulis sendiri, kita sediakan sendiri, kita susun sendiri, dan kitalah pengarangnya. Membuat nota sendiri perlu dilakukan secara berterusan setiap hari, tidak semestinya menjelang peperiksaan saja.
Cuba kamu ikut contoh Fazley, seorang penyanyi yang memperoleh 8A1 dalam SPM.
Dengan keputusan yang cemerlang itu telah melayakkannya melanjutkan pelajaran ke Victoria University, Welllington, New Zealand dalam bidang Perdagangan dan Pentadbiran.
Tentu kamu tertanya-tanya , bagaimana dia boleh skor A dalam setiap mata pelajaran yang telah diambilnya.
Fazley mula membuat nota kecil sejak di Tingkatan Empat lagi. Jika kamu mahu mengikuti jejak langkahnya, ayuh … jangan bertangguh … mulakan dari sekarang. Mari ikut teknik Fazley.

LANGKAH PERTAMA
Fazley menggunakan 12 batang pen berlainan warna termasuk beberapa batang highlighter sebagai persediaan membuat nota kecil.
Sebenarnya, kamu boleh menggunakan kurang atau lebih daripada jumlah pen itu. Terpulang kepada kemampuan dan keselesaan kamu.

LANGKAH KEDUA
Mula membaca buku teks dan buku rujukan. Sambil membaca, kata kunci atau kata penting diwarnakan.
Pada masa yang sama, fahamkan betul-betul maklumat yang dibaca. Bacalah mengikut bab atau topik. Tidak perlu baca banyak perkara. Yang penting kamu faham, kemudian baru buat nota.

LANGKAH KETIGA
Sehelai kertas bersaiz A4 dilipat kepada empat bahagian atau kolum

LANGKAH KEEMPAT
Mula menulis nota mengikut kolum . Setiap kolum boleh dibahagikan kepada dua bahagian (subtopik) untuk satu bab ataupun kamu boleh jadikan keempat-empat kolum itu untuk satu bab sahaja. Di sebelah belakang kertas itu pula satu bab yang lain. Gunakan pen yang berlainan warna. Nota dicatat seringkas-ringkasnya agar dapat meningkatkan tahap ingatan.

LANGKAH KELIMA
Setelah kata kunci ditulis, gunakan highlighter untuk tajuk dan perkara-perkara yang penting. Pastikan kamu gunakan warna yang selari untuk semua nota supaya fikiran kamu tidak keliru.
Misalnya, jika warna kuning untuk isi-isi penting, maka gunakan warna yang sama untuk subjek lain pula. Contohnya, tarikh penting – warna merah, nama tokoh – warna biru.

LANGKAH KEENAM
Setelah nota disiap ditulis, kamu boleh menghafalnya. Jangan lupa untuk meninggalkan sedikit ruang untuk menambah isi penting apabila guru mula mengajar.

LANGKAH KETUJUH
Ambil sampul surat panjang. Tuliskan mata pelajaran. Kemudian, masukkan nota itu mengikut mata pelajaran. Bawalah nota itu ke mana-mana . Jika ada masa terluang , silalah baca .
Untuk subjek yang melibatkan pengiraan seperti Matematik, Fazley menasihatkan pelajar agar menyediakan sebuah buku khas untuk membuat latihan pengiraan.
Latihan perlu dibuat selalu agar pelajar biasa dengan corak soalan. Fazley berpendapat bahawa subjek Matematik memerlukan pelajar merangka jalan penyelesaian yang betul secara sistematik.
Jalan penyelesaian yang betul akan menemukan jawapan yang tepat dan mendapat markah yang baik.
Menurut Fazley, dia akan membawa nota tersebut ke mana-mana sahaja. Misalnya, ketika menunggu bas, dia tidak perlu membawa buku tebal, tetapi hanya membaca nota kecil itu. Fazley turut mengingatkan para pelajar agar membawa nota yang dibuat tanpa menunggu hari peperiksaan.
Kaedah di atas adalah berdasarkan pengalaman Fazley sendiri.
Sebenarnya, ada banyak lagi teknik belajar mengikut keselesaan kamu.
Belajar awal dan membuat nota pada peringkat awal dapat menimbulkan semangat yakin pada kebolehan diri dan kamu akan merasakan bahawa diri kamu telah cukup bersedia untuk menghadapi peperiksaan ketika pelajar lain baru hendak membuat persediaan.
Dengan cara ini kamu mempunyai stamina untuk mengulang kaji semua mata pelajaran yang telah kamu buat mengikut kesesuaian kamu.

PETA MINDA
Kaedah membuat nota jenis peta minda telah diperkenalkan oleh Tony Buzan . Kaedah ini lebih menitikberatkan grafik dan kata kunci.
Kaedah ini lebih efektif berbanding dengan kaedah biasa kerana kita dapat menyeimbangkan pengguanaan otak kiri dan otak kanan.
Di samping itu, peta minda merupakan kaedah yag berkesan untuk mendapatkan semuala makluat daripada ingatan untuk ditukarkan kepada bentuk yang boleh dilihat.
Peta minda boleh membantu kamu mengukuhkan daya ingatan dan pemahaman.
Melalui peta minda, kamuberhubung secara aktif dengan maklumat dalam ingatan kamu seoalah-olah kamu berbicara dengan daya ingatan kamu sendiri.
Segala maklumat yang kamu susun dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan secara tepat dan mudah difahami.

PERSEDIAAN MEMBUAT PETA MINDA
  1.     Tenangkan hati dan pasang niat untuk belajar . Bacalah doa (bagi pelajar Islam) , duduk tegak, dan pernafasan biarlah betul
  2.     Tingkatkan konsentrasi. Pastikan suasana tenang , hindarkan sebarang gangguan yang boleh memberi kesan terhadap penumpuan belajar
  3.     Baca teks keseluruhan, terutama tajuk penting , pendahuluan , subtajuk , kesimpulan , soalan / latihan , gambar rajah dan carta
  4.     Baca keseluruhan teks dengan laju
  5.     Baca dengan sederhana laju dan tandakan fakta-fakta penting
  6.     Kenal pasti tajuk utama dan subtajuk yang hendak dimasukkan ke dalam peta minda
  7.     Bina peta minda


KAEDAH MEMBUAT PETA MINDA

  1.     Mula membuat peta minda di bahagian tengah kertas
  2.     Bezakan tajuk utama dan tajuk kecil dengan menggunakan warna yang terang dan berbeza supaya lebih menarik
  3.     Tuliskan tajuk utama di tengah-tengah kertas dan lukis gambar untuk mewakili tajuk utama tersebut. Gunakan warna yang berlainan dan menarik supaya lebih mudah mengingatinya
  4.     Sambungkan ranting utama ke tajuk yang berada di tengah-tengah . Kembangkannya dengan cara melebar ke tepi
  5.     Tulis atau lukis imej yang menggambarkan fakta di atas ranting utama tersebut . Gunakan simbol
  6.     Tambahkan ranting utama mengikut fakta yang hendak kamu masukkan. Gunakan warna yang berbeza untuk memudahkan kamu mengingatinya
  7.     Kembangkan ranting utama ke ranting kecil mengikut fakta. Jika boleh , kamu gunakan warna yang berbeza antara ranting-ranting kecil ini

NOTA ISTILAH
Nota istilah digunakan untuk menyalin istilah-istilah sukar , difinisi , atau formula di atas kad atau kertas . Nota istilah ini boleh digunakan sebagai bahan untuk mengulang kaji tanpa mengira masa dan tempat .

KAEDAH MEMBUAT NOTA ISTILAH
  •     Baca topik dengan teliti
  •     Tandakan istilah , formula atau definisi-definisi yang penting
  •     Catatkan istilah , formula atau definisi di atas kertas . Gunakan kertas keras dan pen berwarna untuk menjadikan nota tersebut menarik dan tahan lama
  •     Nota yang dicatat hendaklah ringkas dan padat . Kamu boleh guna ringkasan perkataan atau simbol seperti yg , dgn , cth , & .

Lihat contoh


Subjek : Sejarah Dunia (tingkatan 4)
Tajuk : Dari Gua ke Perkampungan Awal (bab 1)
1 . Zaman Paleolitik
  •     Manusia hidup berpindah-randah – dlm kelompok yg kecil
  •     Mencari sumber makanan – tumbuhan liar
  •     Memburu binatang – dimkn
  •     Tidak tinggal tetap di sesuatu tempat
  •     Tinggal – di dlm gua – di bwh ranting-ranting yg ditutup dgn rumput-rampai
  •     Peralatan harian – diperbuat drp batu & tulang


NOTA GAMBAR RAJAH
Nota gambar rajah dapat memberikan gambaran yang menyeluruh tentang sesuatu topik yang dipelajari. Kaedah ini dapat membantu mengimbas kembali topik yang sedang diulang kaji .
Gambar rajah atau carta penting, bolehlah kamu salin daripada nota , buku teks atau buku rujukan.
Gunakan pen berwarna untuk menjadikan nota gambar rajah ini lebih menarik . Kamu bebas untuk memilih bentuk gambar rajah .

KAEDAH MEMBUAT NOTA GAMBAR RAJAH

  •     Tenangkan hati dan pasang niat untuk belajar . Bacalah doa (bagi pelajar Islam) , duduk tegak , dan pernafasan biarlah betul
  •     Tingkatkan konsentrasi . Pastikan suasana tenang , hindarkan sebarang gangguan yang boleh memberi kesan terhadap penumpuan belajar seperti bunyi bising
  •     Baca teks keseluruhan , terutama tajuk penting , pendahuluan , subtajuk , kesimpulan , soalan/latihan , gambar rajah dan carta .

Ketika mencatat nota , hubungan pelajar dengan guru perlu dijaga . Jadi , kamu harus bertanya kepada guru. Jadi, kamu harus bertanya kepada guru jika kamu tidak faham tentang sesuatu fakta .
Faktor ini penting untuk mengelakkan kamu mencatat nota yang tidak perlu atau tidak penting.
Bertanyalah kepada guru tentang fakta-fakta penting yang erlu diberi penekanan dalam proses pembelajaran .
Guru yang prihatin biasanya akan cuba memberikan seberapa banyak bahan yang boleh selain buku teks .

Belajarlah menulis nota dari sekarang kerana nota menjadi suatu rekod yang kekal dan amat penting untuk tujuan mengulang kaji dan pembelajaran semula.
Cuba ingat nota-nota penting dalam minda kamu kerana kesemua nota yang baik dan sempurna merupakan pasport kejayaan kamu dalam peperiksaan.

Bahan sudah dimohon share : https://www.gpsbestari.com/tip/tip-belajar/rupanya-inilah-teknik-catat-nota-paling-berkesan-1.813319