Ajar anak menulis & 15 TIP kesilapan ibubapa








Memupuk Minat Menulis Secara Kreatif


” Bila anak saya nak mula belajar menulis? “. Itulah diantara persoalan yang sering diajukan oleh ibu bapa yang baru menghantar anak ke tadika .

Semua ibu bapa sedar bahawa setiap anak mesti mempunyai kemahiran menulis dan ia adalah antara faktor penentu kejayaan anak di sekolah, universiti dan di dalam kerjaya.

Mengajar anak menulis merupakan amanah. Rasulullah SAW bersabda:

” Hak anak atas ibu bapanya adalahlah diajarinya menulis, berenang dan memanah serta diberikan makanan yang halal.”

(Hadith Riwayat At- Tarmizi)

Ramai ibu bapa yang menganggap mengajar anak menulis bermula dengan memegang tangan anak untuk mengajar menulis ABC dan 123. Kanak-kanak sebenarnya memerlukan kemahiran yang banyak untuk menulis dan bermula lebih awal lagi.

Bayi dilahirkan dengan refleks gengaman yang sangat kuat sehingga boleh menampung berat badannya sendiri. Jika bayi diganggu dengan bunyi yang kuat atau pergerakan yang kasar secara tiba-tiba, refleks terkejut akan menyebabkan dia membuka jarinya seperti bintang. Refleks gengaman dan terkejut ini mestilah hilang sebelum kemahiran manupulatif diperolehi iaitu kebolehan menggunakan tangan dengan sengaja untuk melakukan pelbagai aktiviti temasuk menulis menggunakan pensil.

Perkembangan manupulasi tangan berlaku dengan pesat pada peringkat awal. Kemampuan fungsi tangan anak akan wujud bila sistem otak-sarafnya dibina secara bertahap-tahap. Lebih kerap fungsi-fungsi itu digunakan lebih eloklah pembangunan di tahap itu.

Oleh itu ibu bapa harus sentiasa peka pada tahap dan menyokong perkembangan mereka.

Menurut ahli teori Lev Vygotsgy (1978), orang dewasa dapat menyokong (scaffolding) seorang kanak-kanak untuk berkembang kepada tahap yang lebih tinggi. Vygotsky mengemukakan teori zone of proximal development- iaitu zon perbezaan di antara tahap atau kebolehan sediada kanak-kanak dan tahap lebih tinggi sedikit yang boleh dicapai dengan bantuan orang dewasa atau kanak-kanak yang lebih besar.

Sebagai contoh ibu bapa boleh menolong mempercepatkan refleks gengaman hilang dengan membuka jari anak satu per satu. Lakukan aktiviti dengan lagu atau nasyid. Ini mengembirakan bayi dan gengamannya akan hilang secara perlahan-lahan.

Seterusnya rasakan tapak tangan anak dengan benda-benda yang mempunyai tekstur yang berlainan seperti berbagai jenis kain, kertas dan plastik. Semua maklumat akan sampai ke otak mereka melalui deria sentuh.

Memberi bayi memegang objek yang berlainan juga akan menolong menguatkan otot jari dan tangan mereka.

Terdapat ibu bapa yang sering memarahi anak yang suka mengutip dan memasukkan apa sahaja ke dalam mulut. Apa yang sebenar berlaku adalah mereka sudah boleh menggunakan ibu jari dan jari telunjuk untuk mengambil sesuatu. Pencapaian kemahiran manupulatif yang hebat ini boleh dilatih dengan memberi anak makan sendiri makanan seperti kismis dan sayuran yang dipotong kecil.

Ada kalanya anak dilihat seperti sengaja melepaskan barang yang dipegangnya. Kini otot-otot melepaskan gengaman sedang belajar bertugas bertentangan dengan otot-otot gengaman supaya kedua-dua otot yang berlainan bekerja bersama.. Bermain memasukkan dan mengeluarkan mainan dapat membantu merangsang tahap perkembangan penting ini.

Kanak-kanak yang bebas meneroka dan diajar berdikari lebih awal akan lebih cepat memperolehi kemahiran manupulatif kerana mereka berpeluang menggunakan tangan dan jari mereka untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti makan, memakai pakaian dan bermain. Ini akan mempercepatkan lagi kesediaan mereka untuk aktiviti menulis.

Menulis dibahagikan kepada tiga peringkat utama iaitu pratulis, awal tulis dan tulis.

Peringkat pratulis bermula apabila kanak-kanak sudah boleh membuat garisan dengan pensil dan menconteng. Berilah latihan yang banyak menggunakan pergerakan halus jari mereka dengan aktiviti-aktiviti mengoyak , meramas, menggentel, melipat menguntai ,memusing, memutar, memulas, melipat, mencantum dan melarik di atas pasir atau udara.

Kanak-kanak di sekitar umur satu dan dua tahun yang didedahkan kepada aktiviti begini lebih cepat menguatkan koordinasi tangan dan mata mereka untuk persediaan menulis.

Peringkat awal tulis biasanya bermula di sekitar umur tiga tahun apabila kanak-kanak sudah boleh melukis imej yang boleh dikenali, menulis dengan sokongan dan menulis mengikut garis putus.

Di sekitar umur empat tahun kanak-kanak biasanya sudah boleh menulis tanpa sokongan. Pada peringkat ini ibu bapa mestilah lebih kreatif dan menjadikan aktiviti menulis sesuatu yang menarik dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian..

Saya sering menjadikan aktiviti menulis satu aktiviti yang menyeronokkan dan dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Sebelum aktiviti membeli-belah, saya menggalakkan anak-anak untuk menyediakan senarai serta kuantiti barang yang hendak dibeli seperti dua buku roti, sepatang pensil dan empat biji limau.


Biasanya mereka akan sibuk bertanya ejaan barang yang hendak ditulis. Secara tidak langsung mereka belajar mengeja pada masa yang sama. Kadang-kadang mereka gemar menggunakan pen untuk menulis, mungkin mereka merasa lebih dewasa bila dapat menulis menggunakan pen.


Ketika membeli-belah, mereka banyak belajar membaca dan mengenal angka daripada nama dan harga barang-barang yang dipilih .


Kebiasaan ini dipraktikkan juga sebelum pergi berkelah, bercuti dan balik kampung. Anak-anak juga digalakkan untuk menyiapkan barang keperluan sendiri seawal usia empat tahun. Saya dapati aktiviti begini memberi banyak kebaikan dan memudahkan kerana ia menolong memupuk sifat bertanggungjawab, berdisiplin dan berdikari dalam diri anak dengan lebih awal.


Semalam saya dapati ada sekeping nota kecil diletakkan di atas meja solek. Ianya merupakan pesanan telefon yang diambil oleh anak perempuan saya yang berumur lapan tahun semasa ketiadaan saya . Saya juga sering menerima nota kata-kata “sayang” dan kad-kad kejutan daripada anak-anak. Menerima kejutan begini menjadikan hari saya lebih bermakna.


Untuk memupuk penulisan kreatif, saya menggalakkan anak-anak untuk berkarya seperti membuat buku skrap, menulis pantun, puisi, teka-teki dan cerita pendek. Mempunyai diari sendiri juga membantu menggalakkan anak menulis dan berkarya.

Saya gemar menampal hasil karya anak-anak di rumah sebagai tanda penghargaan dan galakan buat mereka. Bila berpeluang saya juga akan menghantar hasil karya mereka ke majalah kanak-kanak untuk disiarkan.

Semua aktiviti menulis ini nampaknya seperti terlalu awal untuk dipupuk dan ianya diluar kemampuan anak. Insya-Allah dengan sedikit tunjuk ajar, kesabaran dan istiqamah, ianya boleh dilakukan dengan baik oleh anak. Kanak-kanak peringkat ini sememangnya berpotensi untuk melahirkan penulisan kreatif, kritis dan inovatif.

Menyediakan pelbagai jenis kertas, peralatan menulis dan mewarna dapat memupuk minat anak untuk menulis dalam semua peringkat. Mereka juga suka menulis menggunakan komputer jika diberi peluang.

Pada peringkat awal, janganlah terlampau memberi perhatian kepada cara anak menulis dan ejaan yang salah. Berilah kata-kata galakan dan pujian sebelum menegur kesilapan anak. Kanak-kanak banyak belajar melalui kesilapan dan jadikanlah aktiviti menulis sesuatu yang menggembirakan buat seisi keluarga.



15 Kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak

“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar.” (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64:15)

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :

“Tahukah engkau siapakah orang yang mandul.” Berkata para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah SAW berkata : “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”-(Maksud Al-Hadith )

Ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak.

1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa

1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah

* Saidul (penghulu) Istighfar

* Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 8-9)

* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 38)

* Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)

1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah

* Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128)

* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74)

* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib

(menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti :

* menakutkan anak-anak dengan sekolah

* menakutkan dengan tempat gelap

* menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau

* menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak

* tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak

* terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif

* mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah).

* membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual)

* ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani

6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :

Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’ : “Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata : “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.”-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas

* ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas.

Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak.

Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.

Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak

Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video.

Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak.

Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.



No comments:

Post a Comment

berikan komen anda